2001
Perjuangan Mempertahankan SJKC Chung Hwa Damansara
SJKC Chung Hwa Damansara diasaskan pada tahun 1930, terletak di Jalan Damansara, Petaling Jaya. Kerajaan melaksanakan perintah darurat pada tahun 1950, dengan penduduk di Jalan Damansara ditempatkan di Kampung Baru Damansara. Begitu juga dengan SJKC Chung Hwa Damansara, yang ditempatkan dalam Kampung Baru Damansara. Pada tahun 1990-an, SJKC Chung Hwa Damansara telah berkembang menjadi sebuah sekolah yang besar, dengan jumlah pelajar melebihi 1400 orang. Kebanyakan pelajarnya berasal dari kawasan kediaman di luar Kampung Baru Damansara, kerana komuniti di luar kampung baru kekurangan sekolah rendah jenis kebangsaan Cina.
Sungguhpun anggota Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) terdiri daripada orang luar kampung, namun penduduk kampung ialah penaja sekolah dan juga ibu bapa pelajar sejak dahulu lagi. Menjelang PRU10 pada tahun 1999, LPS SJKC Chung Hwa Damansara memohon kepada Kementerian Pendidikan Malaysia agar sekolah dipindahkan, dan ditutup sekolah asal, atas alasan yang tidak munasabah, seperti keselamatan pengangkutan, pencemaran udara dan bunyi. Pada Jun 2000, penduduk kampung dan sesetengah ibu bapa dimaklumkan bahawa sekolah tersebut akan dipindahkan, dan bangunan asal sekolah akan ditutup.
Pada 12 Januari 2001, ketika persekolahan dibuka, bangunan asal SJKC Chung Hwa Damansara diambil alih polis, dengan bekalan air dan elektrik dipotong. Pelajar tidak dibenarkan masuk. Jawatankuasa Mempertahankan Sekolah Asal dan Memperjuangkan Sekolah Cawangan (kedua) ditubuhkan kemudian. Pelajar diatur untuk belajar di Tokong Yeong Leong yang terletak bersebelahan. Perjuangan ini berlanjutan selama 2926 hari, dan akhirnya sekolah dibenarkan untuk dibuka semula pada 5 Januari 2009. Gerakan ini memahat sejarah dalam gerakan sosial komuniti di negara kita.








