Skip to main content

Demonstrasi Tasek Utara, Johor dan perarakan Baling

1974

Demonstrasi Tasek Utara, Johor dan perarakan Baling

Penduduk Tasek Utara, Johor membina rumah kayu di kawasan tanah lapang kerana tidak memiliki tanah, dan tidak mampu menampung sewa yang tinggi. Pada September 1974, kerajaan tempatan merobohkan rumah secara keras. Penduduk melancarkan perjuangan untuk menuntut hak perumahan. Pada November 1974, kaum petani di Baling, Kedah mengadakan demonstrasi protes di Baling lantaran penurunan harga getah dan inflasi yang melambung.

Perjuangan kedua-dua gerakan ini menarik perhatian siswa-siswi dalam universiti. Mereka keluar dari menara gading untuk menghulurkan sokongan, lantas mencetuskan gelombang gerakan siswa. Seramai 1128 orang siswa-siswi yang menyokong petani Baling di Kuala Lumpur ditangkap polis. Pada 8 Disember 1974, kerajaan melancarkan penangkapan secara besar-besaran dalam perkarangan kampus Universiti Malaya dengan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Ramai siswa yang ditangkap dan ditahan, di samping sesetengah daripadanya melarikan diri ke luar negeri.

Selepas peristiwa ini, kerajaan meminda AUKU sekali lagi, untuk memperketatkan kawalan terhadap kebebasan bersuara dan berpersatuan siswa-siswi.

Peristiwa yang berkaitan: Pada tahun yang sama, Malam Kebudayaan Chun Lei anjuran Persatuan Bahasa Cina Universiti Malaya telah diharamkan persembahannya kerana tergolong sebagai isu sensitif. Pengerusi Jawatankuasa Malam Kebudayaan Chun Lei, iaitu Goh Kean Seng telah ditahan di bawah ISA. Menurut kertas putih yang dibentangkan dalam parlimen pada Disember 1974, Persatuan Bahasa Cina Universiti Malaya terlibat dalam kegiatan subversif Parti Komunis Malaya, dan diberi arahan untuk diharamkan.