Skip to main content

Gerakan Reformasi

1998
Gerakan Reformasi

Krisis kewangan melanda Malaysia. Gelembung ekonomi yang dijana di bawah Wawasan 2020 berkecai. Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada ketika itu berbeza pandangan ketika negara ditimpa krisis ekonomi. Anwar menjelajah ke seluruh negara untuk mendedahkan amalan rasuah dan kronisme oleh Mahathir selepas dipecat. Anwar disokong golongan kelas menengah dan intelektual. Maka lahirnya satu gerakan Reformasi dalam masyarakat untuk menuntut perubahan dan penambahbaikan politik. Gerakan Reformasi memberi impak yang besar terhadap perkembangan masyarakat sivil. Pada awal tahun 2000, NGO yang berorientasikan isu dan seni-budaya muncul satu demi satu, dan memberi impak yang penting terhadap generasi muda.

Gerakan Reformasi bukan sahaja titik pusingan gerakan sosial setelah bangkit daripada kelesuan 10 tahun selepas Operasi Lalang, tetapi juga titik permulaan penting dalam gerakan media independen. Orang awam semakin sedar akan sekatan maklumat dan manipulasi kebenaran oleh media arus perdana, yang membantutkan gerakan reformasi. Malah, masyarakat massa juga sedar akan fungsi internet untuk menembusi sekatan maklumat, lantas menjurus kepada penubuhan portal media dan penggunaan internet yang semakin luas.