9 Julai 2011
Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011
BERSIH menganjurkan Himpunan BERSIH 2.0 untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil. Mobilisasi melalui internet berjaya menarik kehadiran kira-kira 50 ribu orang. Himpunan BERSIH 2.0 merupakan penentangan yang paling sengit dalam sejarah BERSIH.
Dua minggu sebelum himpunan berlangsung, polis memulakan penangkapan aktivis yang terlibat dengan menggunakan Ordinan Darurat. Gas pemedih mata dan meriam air ditembak secara bertalu-talu ketika menyuraikan himpunan. Ramai yang tercedera, dan salah seorang peserta meninggal dunia.
Susulan daripada himpunan ini, kerajaan mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang dianggotai ahli parlimen blok kerajaan dan pembangkang untuk mengkaji perkara-perkara berkaitan proses pilihan raya Malaysia. Pada Ogos 2011, kerajaan mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA), digantikan dengan dua akta baru untuk melindungi keselamatan awam, dan menamatkan tiga proklamasi darurat yang masih berkuat kuasa ketika itu. Pada akhir tahun, kerajaan membentangkan RUU Perhimpunan Aman, melonggarkan syarat permohonan untuk berhimpun.





