Kebanyakan kegiatan komuniti bermula dari bawah di mana konteks pembangunan dan kesedarannya tidak lekang dari pelaksanaan ideologi dan polisi ekonomi oleh institusi negara. Garis masa bukan sahaja menampakkan organisasi komuniti dan pelaksanaan rancangan, ia juga menunjukkan dasar-dasar negara dan ideologi masyarakat. Kegiatan komuniti seakan nadi masyarakat dan negara; tatkala fenomena ketidakseimbangan mula bergolak menjadi polisi negara seperti Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Kebudayaan Negara, setiap generasi akan terasa tempias pengaruhnya.
Kerja lapangan dan penelusuran susur galur komuniti bukan sahaja untuk garis masa semata-mata, malah ia bertujuan sebagai analisa dan pemulaan wacana. Garis masa dapat membawa penerokaan dari sudut yang rencam serta memberikan pemahaman terhadap kerja komuniti dan hubungan antara perkembangannya dengan sejarah negara. Ini membolehkannya dijadikan sebagai rujukan aktivis komuniti dalam memenuhi kebaikan rakyat dan masyarakat serta pemikiran dan perancangan masa hadapan.















































